SAMPEL KEBAIKAN MEMBELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA
Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup bersatu dan maju,
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta,
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta.
Bait-bait lagu lagu kebangsaan Negaraku di atas menyemai bibit semangat cinta akan negara dalam kalangan warga Malaysia. Sebagai rakyat yang sayang akan negara, kita perlu memberi keutamaan kepada negara baik dari segi ekonomi, politik dan perpaduan negara. Justeru, antara kewajiban kita sebagai warga negara Malaysia adalah untuk membeli barangan buatan tempatan. Terdapat beberapa kebaikan membeli barangan buatan Malaysia iaitu menjimatkan perbelanjaan isi rumah sesebuah keluarga ,meningkatkan imej negara di persada dunia, menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, dan memajukan industri tempatan.
Antara kebaikan membeli barangan buatan Malaysia adalah untuk menjimatkan perbelanjaan isi rumah sesebuah keluarga. Hal ini kerana barangan buatan Malaysia lebih murah berbanding barangan yang diimport dari luar negara. Barangan import lebih mahal kerana kebiasaannya barangan berkenaan dikenakan cukai oleh kerajaan berbanding barangan yang dikeluarkan dalam Malaysia. Tambahan pula, barangan buatan Malaysia tidak ada bezanya dengan barangan luar negara malah lebih baik dan digunapakai oleh masyarakat. Contohnya kereta buatan Malaysia seperti Proton Saga dan Proton Wira memang sudah diterima pakai kebanyakan negara luar termasuk negara maju seperti Britain. Kita haruslah menyahut seruan kerajaan dengan slogan “Cintailah Barangan Buatan Malaysia”. Alah membeli menang memakai. Tegasnya, kita harus membeli barangan buatan Malaysia kerana tindakan membeli barangan buatan negara dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga.
Selain itu, membeli barangan buatan Malaysia dapat meningkatkan imej negara di persada dunia. Siapa lagi yang perlu memberi kepercayaan kepada barangan buatan tempatan sendiri jika tidak kita sebagai warga Malaysia? Sekaligus, masyarakat luar akan memandang tinggi masyarakat negara kita yang bangga menggunakan barangan jenama Malaysia. Syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan di Malaysia perlu menggunakan kereta buatan Malaysia sebagai usaha untuk mempromosi kereta berkenaan. Paling membanggakan, ada pelancong yang seronok apabila memandu atau menaiki kereta sewa buatan Malaysia. Antara contoh syarikat penyewa kereta terkenal di Malaysia seperti Syarikat Kereta Sewa Hawk, Syarikat Kereta Sewa Taman Maluri, Selangor, Syarikat Kereta Sri Perak di Perak dan sebagainya. Sepatutnya, slogan Belilah Barang Buatan Malaysia perlu diimplementasikan dalam penggunaan barangan buatan tempatan. Jelasnya di sini, membeli barangan buatan Malaysia dapat meningkatkan imej negara di persada dunia.
Di samping itu, budaya membeli barangan buatan tempatan juga dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, industri pembuatan barangan Malaysia telah berjaya menghasilkan barangan berkualiti seperti tembikar, batik, perabot, membuat bakul daripada mengkuang, rotan atau buluh hasil. Malahan, barangan ini bukan sahaja dipasarkan di pasaran tempatan, negara jiran malah dieksport ke negara maju. Justeru, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita sepatutnya bangga menggunakan barangan buatan sendiri kerana secara tidak langsung tindakan ini dapat meningkatkan imej negara di mata dunia. Antara barangan yang boleh kita utamakan , selain membeli kenderaan adalah dengan membeli telefon bimbit keluaran negara seperti CSL. Justeru kita perlu mengelakkan daripada bersikap seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Tegasnya, budaya membeli barangan buatan tempatan juga dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Seterusnya, membeli barangan buatan Malaysia dapat memajukan industri tempatan. Sekiranya masyarakat tempatan sendiri tidak mengambil inisiatif untuk membeli barangan Malaysia, berkemungkinan besar pengusaha industri berkenaan akan gulung tikar. Tambahan pula, apabila industri tempatan tidak boleh beroperasi mengeluarkan barangan mereka, sudah pasti barangan keluaran negara luar terutama negara maju akan memonopoli pasaran tempatan. Apabila berlakunya situasi begini, sukar untuk industri Malaysia bertapak semula seperti sediakala. Sudah terhantuk baru terngadah. Antara contoh barangan buatan luar yang menguasai pasaran tempatan seperti kereta jenama Honda, Toyota dan Mitsubishi sedangkan syarikat pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua mengeluarkan kereta jenama Malaysia. Oleh sebab itu, masyarakat Malaysia perlu bekerjasama bagaikan aur dengan tebing untuk memajukan industri kereta buatan Malaysia agar kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Konklusinya, kemajuan industri tempatan bergantung kepada sikap pengguna negara ini. Jika mereka mengutamakan barangan tempatan, sudah pasti industri tempatan akan berdaya saing seperti industri negara luar.
Kesimpulannya, masyarakat sebagai pengguna, pengeluar barangan, dan kerajaan perlu saling bekerjasama untuk memastikan barangan buatan Malaysia diguna pakai oleh masyarakat dalam kehidupan seharian. Masyarakat sebagai pengguna perlu mengutamakan barangan keluaran tempatan sebagai barangan pilihan utama mereka semasa membuat pembelian. Sementara itu, pihak pengeluar perlu sentiasa meningkatkan kualiti barangan keluaran mereka supaya mendapat kepercayaan daripada pihak pengguna. Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan drastik melalui Kementerian Pengguna membantu mempromosikan beli barangan buatan Malaysia. Apabila semua pihak di atas bekerjasama bagaikan aur dengan tebing sudah pasti barangan buatan Malaysia mampu menjadi barangan keutamaan dan kebanggaan negara.
SAMPEL ESEI
Ledakan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigm ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.
Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.” Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai aspirasi negara menjadi negara industri.
Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata” dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!