12 May
12May

CONTOH MEMBINA KARANGAN PENDAHULUAN

Pengenalan 

Secara umumnya, pelajar boleh memilih cara menulis pengenalan sama ada secara umum atau memilih beberapa lagi jenis pengenalan yang lain.


Jenis-jenis pengenalan:-

1. Pengenalan jenis umum.

 2. Pengenalan jenis definisi.

3. Pengenalan jenis pendapat pemimpin. 

4. Pengenalan jenis suasana.

5. Pengenalan jenis persoalan.

 6. Pengenalan jenis sejarah.

7. Pengenalan jenis berita. 

8. Pengenalan jenis peribahasa.

9. Pengenalan jenis dialog. 

10.Pengenalan jenis puisi.

11.Pengenalan jenis lagu.


1. Pengenalan jenis umum.

  Penulisan pengenalan jenis umum memerlukan pelajar menulis dua jenis ayat iaitu

a) ayat rangsangan

b) ayat arahan.


Ayat rangsangan ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembaca atau pemeriksa. Justeru, dalam penulisan perenggan pengenalan jenis umum ini pelajar perlu mampu menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isu yang dikaitkan seelok-eloknya berkaitan isu semasa yang hendak dikaitkan secara umum. Sebaliknya, jika ayat yang dibina tidak merangsang minat pembaca, situasi ini akan menyebabkan pengenalan anda biasa sahaja dan tidak ada ciri keistimewaan untuk memikat pembaca.


 Ayat arahan pula bermaksud ayat yang menjawab kata kunci soalan karangan yang ditugaskan. Melalui ayat arahan ini pembaca atau pemeriksa sudah tahu isi yang ingin anda tulis atau garap dalam penulisan seterusnya. Kebiasaannya ayat arahan ditulis pada bahagian akhir perenggan pengenalan.


Contoh soalan:

Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (AR1) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (AR2) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, dan boleh merosakkan masyarakat dan ekonomi negara.(AR3) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah kerana rasuah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat, ekonomi, dan maruah negara. ( AA)


Contoh soalan 2.

Di negara kita, kemalangan jalan raya dikatakan berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.

Hampir setiap hari media masa sama ada media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam kemalangan. (AR2) Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Oleh itu, pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengambil langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA)

Dalam jawapan contoh pengenalan di atas ( AR1 ) ialah ayat rangsangan 1, (AR2) ayat rangsangan 2, (AR3) ayat rangsangan 3, dan (AA) ayat arahan.


2. Pengenalan jenis definisi.

Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes

ini sentiasa berlaku dan berulang.


“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak punca yang boleh menyebabkan insiden ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.


3. Pengenalan jenis pendapat pemimpin.

Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.



4. Pengenalan jenis suasana atau situasi.

Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumah tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.


Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi panik kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan bagi menyelamatkan mangsa. Tambahan pula, tiada alat yang boleh saya gunakan untuk membantu saya menyelamatkan mereka. Namun begitu, saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.


5. Pengenalan jenis persoalan.

Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?


6. Pengenalan jenis sejarah.

Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?


7. Pengenalan jenis berita .

Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.

‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.


8. Pengenalan jenis peribahasa.

Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh
masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.

‘Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh. Hal ini tentu mengetepikan maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan ini.


9. Pengenalan jenis dialog.

Ceritakan sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang tidak akan putus.

“Kataku pergi! Pergi!!” pekik Kassim.

“Pergi kataku!” kataku lagi.

“Mengapa mesti aku pergi?” balas Aminah, isteri Kassim sambil menangis teresak-esak menahan kesakitan.

“Bukankah ini rumahku juga?” tambahnya lagi. Mata kirinya yang lebam kerana dipukul sebelum ini sudah tidak boleh dibuka lagi.


10. Pengenalan jenis puisi.

Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena
Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.


Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.


11. Pengenalan jenis lagu.


Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendangWalau panas membahangTetap manis tersenyum riang

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?


 Apabila kita baca, dan teliti pengenalan di atas, setiap pengenalan berkenaan ada kekuatan dan memberi impak yang besar kepada pembaca.




CONTOH MEMBINA PERENGGAN ISI

Perenggan Isi

Selepas pendahuluan, pelajar-pelajar perlu menulis perenggan isi pula. Biasanya, isi yang pertama terletak pada perenggan yang kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan yang ketiga, dan seterusnya. Dari segi isi, pelajar-pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan sahaja. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat hujah atau huraian.

Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandungi empat ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:

(a) Ayat judul;

(b) Ayat Huraian;

(c) Ayat Bukti/Contoh; dan

(d) Ayat penegas.


 Contoh Perenggan Deduktif

(1) Satu daripada punca mutu sukan bola sepak negara kita merosot ialah disiplin pemain negara kita tidak mencapai tahap yang tinggi. (2) Sudah banyak kali disiplin pemain bola sepak negara dipertikaikan ketika menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan atau luar negara. (3) Sebagai contohnya, ada kalangan pemain negara yang tidak mengikuti jadual latihan yang ditetapkan oleh jurulatih dan paling memeranjatkan ada segelintir pemain yang terlibat dengan rasuah dengan mencatur keputusan perlawanan. (4) Justeru, persatuan bola sepak negari dan kebangsaan perlu mengambil berat masalah ini agar tidak memalukan mutu sukan bola sepak negara. (5) Bak kata pepatah, jangan sampai nasi menjadi bubur.

** Bentuk penulisan isi seperti ini selalu ditulis oleh pelajar semasa mengarang.

Ayat (1) Ayat judul, ayat ( 2 ) ayat huraian, ayat (3) ayat contoh, ayat (4 ) ayat penegas dan ayat ( 5 ) frasa menarik/ peribahasa.

 

CONTOH MEMBINA KARANGAN PENUTUP 

Penutup

  1. Pada peringkat ini, pelajar-pelajar dikehendaki membuat kesimpulan atau menyimpulkan isi-isi penting yang telah dibicarakan. 
  2. Pelajar juga dikehendaki menyatakan pendirian tentang tajuk yang dikemukakan. Kesimpulan yang ditulis itu hendaklah bersifat lebih umum dan padat. 
  3. Dari segi kepanjangan, perenggan yang dibina seimbang dengan perenggan isi dan pendahuluan. 
  4. Tegasnya, ayat dalam perenggan penutup ini terdiri daripada kesimpulan, ayat yang berupa cadangan, harapan, dan sebagainya.

Umumnya, fungsi kaedah penulisan penutup sesebuah karangan sama dengan fungsi kaedah pengenalan dan kaedah binaan perenggan isi iaitu untuk memastikan kepanjangan setiap perenggan anda seimbang untuk menunjukkak kepada pembaca dan pemeriksa bahawa anda seorang pelajar yang mahir menghasilkan karangan yang menarik dan bermutu.


Contoh karangan penutup menggunakan binaan ayat:-

Kata penyimpul + ayat cadangan + ayat cadangan + ayat cadangan + ayat harapan

(1) Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan jalan raya yang begitu tinggi di negara kita, terutamanya pada musim perayaan hendaklah diatasi. (2) Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah bertindak tegas terhadap semua pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. (3) Kempen-kempen yang dijalankan mestilah melibatkan semua pihak agar kesannya menyeluruh. (4) Pihak berkuasa pula janganlah memilih bulu ketika menguatkuasakan undang-undang. Semua pengguna jalan raya pula hendaklah ingat bahawa keselamatan di jalan raya ialah tanggungjawab bersama.

kata kunci: (1)Kata penyimpul, ayat (2) ayat cadangan, ayat (3) ayat cadangan dan ayat (4) ayat harapan


.

Teknik Mengolah Karangan 


Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Karangan
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.

Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)

Contoh perenggan pendahuluan 1
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contoh, kadar kemalangan biasanya meningkat pada musim perayaan utama. (C) Jumlah kemalangan jalan raya tentunya membimbangkan banyak pihak. (H) Oleh hal yang demikian, usaha pihak berkuasa perlu ditingkatkan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (F)

Contoh perenggan pendahuluan 2 
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Perkara ini tentunya meresahkan bakal pembeli rumah yang sedang berkira-kira untuk membeli rumah. (H) Oleh itu, terdapat beberapa kesan yang timbul daripada masalah tersebut dan usaha-usaha perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah ini. (F)

2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh hal yang demikian, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isiSalah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini dikatakan demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. KCAPH – Kesimpulan, Cadangan, Ancaman, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah. (C) Hal ini dikatakan demikian kerana jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit.(H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius. (H)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulanKesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya, hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan harmoni.(H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini
Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING